Malam itu, aku menghabiskan masaku di ruang tamu sambil membaca novel yang
baru kubeli petang tadi. Memang hobiku yang suka membaca novel. Melihat novel
tersebut, aku teringat dengan peristiwa di kedai buku petang tadi.
Ketika itu, aku sedang berjalan menuju ke rak buku
yang menempatkan pelbagai jenis novel. Dari jauh aku tertarik dengan satu novel
yang bertajuk ‘Kasihku Abadi’. Aku
segera mencapai novel tersebut lalu membaca sinopsis pada belakang novel
tersebut. Daripada synopsis yang kubaca, jalan cerita dalam novel itu sungguh
menyentuh sanubariku. Aku meneruskan langkahku ke ruang yang menempatkan
buku-buku agama sambil tanganku memegang novel tersebut. Tiba-tiba aku melihat
kelibat seseorang yang aku kenali. Tetapi, aku tidak pasti adakah dia. Lantas
aku membiarkan saja perkara itu dan meneruskan niatku di kedai buku itu.
Selesai sahaja urusanku di kaunter pembayaran, aku terus melangkah keluar dari
kedai buku tersebut. Saat itu, aku merasakan ada seseorang yang sedang
memerhatikan aku. Aku menoleh ke belakang,ke kiri dan ke kanan. Sunyi. Dengan
perasaan yang takut, aku memberanikan diri melangkah menuju ke tempat letak
kereta. Aku segera pergi. Sampainya aku dirumah, kakiku melangkah laju masuk ke
dalam rumah. Setelah itu, aku terus
melupakan perkara itu sehinggalah aku melihat novel yang baru kubeli.
Sedang aku leka membaca novel, telefon bimbitku berdering. Tertera nombor
yang tidak aku kenali.
“Assalammualaikum, siapa ni?”, aku memulakan bicara.
“Waalaikumsalam. Ini Cik Aishah ke?”, suaranya seperti pernah kukenal
sebelum ini. Tapi...
“Ya, saya. Boleh saya tahu siapa awak?”
“Boleh saya jumpa Cik Aishah. Tempat dan masa, nanti saya bagitahu. Yang
penting, Cik mahu ke tidak berjumpa dengan saya?”, aku tidak pasti sama ada itu
pelawaan, pertanyaan atau ugutan.
“Siapa awak ni? Dari mana awak dapat nombor telefon saya ni? Macam mana
awak tahu nama saya?”
“Awak, kalau awak nak tahu siapa saya, boleh kita berjumpa?”
Aku tersentap. Cara dia
memanggilku membuatkan hatiku berdebar-debar. Dia mengingatkan aku kepada
seseorang yang amat aku rindui. Tapi, itu dulu. Beberapa tahun yang lalu. Lama
aku berfikir.
“Cik Aishah?”, panggilannya
mengejutkan aku.
“Ya. Saya akan berjumpa dengan
awak.”
“Baiklah, saya akan tunggu awak
di Restoran D’Alif pada pukul 3 petang esok. Macam mana?”
“Ya, insya Allah. Saya datang”,
dengan yakin aku menjawab. Sejurus selepas itu, aku menelefon sahabatku, Iman
untuk menemaniku.
Keesokan harinya, seperti yang
dijanjikan aku dan Iman akan menemui pemanggil itu. Iman sudah sejam yang lalu
tiba dirumahku setelah dihantar oleh abangnya. Jam menunjukkan pukul 2.30
petang. Tiba-tiba, aku mendapat panggilan daripada Mak Long. Kata Mak Long, Pak
Long masuk hospital kerana terjatuh di bilik air lalu dia tidak sedarkan diri.
Tanpa berfikir panjang, aku segera memberitahu ibu. Ibu dengan pantasnya
memasang tudung dan mencapai beg tangannya. Aku, ibu, Iman dan adik bongsuku
segera menuju ke hospital. Sampainya di hospital, aku menurunkan ibu dan adik
bongsuku di perkarangan hospital
sementara aku memarkir keretaku. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Aku
dan Iman segera menuju ke wad kecemasan. Dari jauh, aku mendengar tangisan Mak
Long. Aku terus memeluknya. Aku lihat Aina, anak tunggal Mak Long dan Pak Long
yang menangis dalam dakapan ibuku. Sayu hatiku. Setelah sejam berlalu, doktor
keluar lalu mencari Mak Long. Kata doktor, Pak Long disahkan mengalami
kerosakan pada saraf otak. Ketika itu, Mak Long hampir-hampir pengsan.
Pak Long dihantar ke wad
neurologi. Malam itu, Mak Long menemani Pak Long. Kami pulang ke rumah mereka
untuk mengambil pakaian Mak Long dan Aina. Aina akan bermalam di rumah kami
sehinggalah Pak Long dibenarkan pulang. Setelah menghantar ibu dan adikku pulang,
aku, Iman dan Aina ke hospital semula untuk menghantar pakaian Mak Long. Dalam
perjalanan pulang, Iman mengingatkan aku dengan temu janji petang tadi. Ya
Allah! Aku lupa hendak memberitahu hamba Allah itu akan kejadian yang berlaku.
Aku menyuruh Iman menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada hamba Allah itu.
Aku betul-betul lupa.
Malam itu, Iman bermalam di
rumah kami. Bilikku dihuni oleh empat orang anak dara. Selesai makan malam, aku
mendapat panggilan daripada orang yang sama. Aku menerangkan perkara yang
berlaku dan meminta maaf kepadanya kerana segala yang berlaku adalah di luar
dugaan. Sebelum tidur, Aina menangis dalam dakapanku.
“Kak Long, Aina takut kalau apa-apa terjadi dengan Abi. Aina tak nak
kehilangan Abi. Aina sayangkan Abi,” Aina terus menangis. Iman dan Arisa, adik
bongsuku turut menangis. Puas aku memujuk Aina, namun tangisannya belum lagi
reda. Aku membiarkannya menangis. Setelah
puas menangis, akhirnya Aina terlelap juga. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku
menuju ke bilik air untuk berwuduk bagi menunaikan solat hajat untuk Pak Long. Usai
solat, aku mendapat panggilan daripada Mak Long.
“Aishah! Cepat datang! Pak Long
kamu sakit tenat!” tanpa berfikir panjang, aku segera mengejutkan seisi rumah.
Ibu, Aina, Arisa dan Iman menaiki keretaku sementara adik lelakiku, Amar dan
Aiman menaiki kereta Amar. Kami tiba di hospital tepat jam 11.30 malam. Aina
segera berlari menuju ke wad neurologi. Tiba-tiba kami melihat pak long
dihantar menuju ke unit rawatan rapi (ICU). Mak Long dan Aina berlari-lari menuju
ke sana juga. Dua jam menunggu, akhirnya doktor bersama dua orang jururawat
keluar menemui Mak Long.
“Minta maaf. Allah lebih
menyayangi Encik Razman,” Aina terus pengsan dalam dakapanku. Mak Long pula
terduduk di atas kerusi. Innalillahiwainnailaihirajiun. Aina menjadi yatim di
usia 16 tahun. Usia yang terlalu muda. Seusia dengan diriku ketika arwah abah
meninggalkan kami 8 tahun yang lalu.
Malam itu, aku dan Iman menguruskan segalanya
sehinggalah jenazah dibawa pulang ke rumah mereka. Ramai saudara-mara yang
datang. Telefon aku, ibu, Mak Long dan Aina terlalu sibuk dengan panggilan
daripada sahabat handai. Rumah Mak Long dibasahi dengan titisan air mata dan
bacaan Yaasin. Aku yang membaca Ummul Kitab, tidak dapat menahan sebak melihat
jenazah Pak Long. Setelah pemergian abah, Pak Long menjadi tempat aku dan
adik-adik untuk bermanja. Dialah ayah kami. Raut wajah Pak Long yang seiras
dengan arwah abah, menyebabkan aku lebih rapat dengan Pak Long.
Dinihari itu, kami solat subuh
berjemaah yang diimamkan oleh anak saudara Mak Long. Selesai solat, doa yang
dibaca oleh imam tadi membuatkan aku menjadi sebak. Air mata bercucuran. Lantas
aku memeluk Aina. Kemudian, aku duduk di sisi jenazah. Membaca Yaasin untuk Pak
Long. Aku hanya tersedar apabila ada orang menyapaku dan memberitahu bahawa
jenazah akan dimandikan lalu dikafankan. Sekali lagi, air mataku bercucuran.
Aku menuju ke dapur untuk meneguk sedikit air. Setelah itu, aku mengambil
kesempatan untuk membersihkan diri.
Aina tidak mahu berenggang
daripadaku mahupun adikku. Lagi pula, kami tidak mahu membiarkan dirinya
sendirian. Hari itu, setelah selesai semua urusan, Aina dan Mak Long terus
tertidur di kamar mereka. Aku lihat, Aina memeluk erat potret Pak Long. Mak
Long pula menyelimuti dirinya dengan kain pelikat Pak Long. Sebak hatiku. Aku
pula menghantar Iman pulang.
******
Aku
membelokkan kereta menuju ke tanah perkuburan. Niat di hati hendak menziarahi
pusara insan aku rindui.
‘Assalammualaikum abah. Kakak rindukan
abah. Abah, abah dah boleh jumpa pak long. Abah tak sendirian lagi. Abah dah
ada teman. Pak long akan bersama abah. Insya Allah, kami akan menyusul
kemudian. Kami semua rindukan abah.’
Akhirnya, air mataku membasahi
rumput hijau. Lama aku di sana. Kemudian, aku menuju ke pusara pak long.
Nampaknya ada seorang pemuda di pusara pak long. Mungkin keluarga sebelah mak
long. Aku tidak berapa kenal dengan keluarga sebelah mak long.
“Assalammualaikum,” berhati-hati
aku menyapa.
“Waalaikumsalam,” dia menolehku
dengan pandangan sayu. Aku terdiam sebentar. Bermimpikah aku? Dia terus berdiri
setelah melihat diriku. Lama kami berpandangan.
Enam tahun yang lalu...
“Aishah, saya minta maaf. Saya
memang betul-betul sayangkan awak. Tapi, saya tak nak musnahkan masa depan
saya. Berilah peluang kepada saya untuk mencorak masa depan saya. Saya janji,
saya akan cari awak setelah semuanya selesai. Saya tak akan pernah berhenti
mencintai awak. Dari hari pertama kita kenal sehingga sekarang, rasa cinta saya
terhadap awak tak pernah pudar. Aishah, saya serahkan kepada Allah untuk jaga
awak buat saya. Selamat tinggal Nurul Aisyah Al-Ain bt Rizman,” itulah
pertemuan terakhir kami. Ketika itu, air mataku bercucuran seperti hujan. Aku
tidak mampu untuk berkata sepatahpun. Dia meninggalkan aku seribu kenangan yang
tak dapat aku lupakan.
Itulah dia pemuda yang mencuit
hatiku, Ahmad Furqan. Meskipun Laut Antartika yang memisahkan kami, tidak
pernah aku lupa wajah dan suaranya. Pertemuan pertama di surau sekolah itu
menjadikan aku seorang perindu. Meskipun dia adalah salah seorang pelajar
cemerlang di sekolah ketika itu, namun aku tidak pernah mengenalinya. Pandangan
kami tertaut ketika di pintu surau sekolah. Ketika itu, aku hendak meninggalkan
surau selesai solat. Lantas aku menutup pintu utama. Tidak aku sedari ada seseorang
dibelakangku lalu menegurku dan memberitahu dia hendak masuk. Aku membuka
kembali pintu itu. Saat aku menoleh ke belakang, aku terdiam. Terpana melihat
kejadian Allah yang sempurna. Segera aku beristighfar lalu beredar dari situ.
“Aisyah?” panggilannya
menghentikan lamunanku.
“Aisyah, apa awak buat di sini?”
tertawa aku mendengar pertanyaan itu.
“Sepatutnya, saya yang tanya
soalan itu kepada awak. Apa awak buat di sini? Ini pusara pak long saya. Apa hubungan
awak dengan pak long saya?”
“Ayah Man ni pak long saya juga.
Ibu Za, mak long awak tu, kakak kepada arwah ibu saya. Ayah Man ni, kami dah
anggap macam ayah kami. Selepas arwah mama dan papa pergi tiga tahun yang lalu,
merekalah yang menjadi ibu bapa kami. Keluarga Ayah Man dan Ibu Za banyak bantu
kami adik-beradik. Sepanjang saya berada di bumi Arab, dialah yang menjaga
adik-adik saya. Tak terbalas rasanya jasa Ayah Man dengan Ibu Za,” aku lihat
mutiara kecil jatuh dari kelopak matanya. Lantas dia menyapa pipinya.
“Itu lah. Kuasa Allah. Tak ada
sesiapa yang dapat menduga. Kita yang hidup ni perlu teruskan hidup. Tak perlu
diratapi orang yang dah pergi,” aku cuba memujuk dia dan diriku sendiri.
Kemudian, Furqan beredar dari situ. Aku pula masih berada di pusara pak long
dan terus menghdiahkan Ummul Kitab untuk arwah pak long. Kemudian, aku beredar.
Aku terkejut melihat Furqan berdiri di sisi keretanya. Kebetulan keretanya
diparkir sebelah keretaku.
“Aisyah, awak terus ke rumah Ibu
Za?”
“Tak, saya nak balik ke rumah
saya sendiri. Selepas zohor nanti, baru saya ke sana. Assalammualaikum,” aku
terus meninggalkan Furqan begitu sahaja.
******
Sudah seminggu pemergian pak
long. Kebetulan pula sudah masuk musim cuti sekolah. Jadi aku tidak perlu mengajar.
Aku bermalam di rumah mak long selama seminggu bagi menemani mereka berdua.
Selama berada di sana, mak long dan Aina kurang bercakap. Masing-masing masih
merindui pak long. Suatu malam, usai solat isyak mak long menghampiriku.
“Aisyah, terima kasih sebab dah
banyak bantu kami sekeluarga. Kalau tak ada Aisyah sekeluarga, mak long tak
tahu nak minta tolong daripada siapa. Terima kasih, Aisyah.”
“Mak Long, jangan cakap macam
tu. Apa yang Aisyah buat ni tak setimpal dengan jasa mak long dan pak long taburkan
untuk kami adik-beradik. Aisyah dah anggap pak long tu macam ayah Aisyah
sendiri. Sepatutnya Aisyah yang berterima kasih dengan mak long dan Aina sebab
sudi bagi kami menumpang kasih dengan pak long.” Kami sama-sama menangis.
Namun, tangisan kami terhenti apabila mendengar ketukan pintu. Aku segera
membuka pintu.
“Eh, Aisyah. Assalammualaikum.
Ibu Za ada?” terkejut aku melihat tubuh yang tinggi lampai itu berdiri di hadapan pintu rumah mak long.
“Waalaikumsalam. Ada. Sila
masuk. Duduk lah. Saya nak panggil mak long sebentar,” aku segera memanggil mak
long. Tidak lama kemudian, mak long datang menemui Furqan. Aku pula
menghidangkan minuman untuk mereka. Kemudian, aku masuk menuju ke kamar Aina.
Tiba-tiba mak long memanggilku. Terkocoh-kocoh aku ke ruang tamu.
“Aisyah, ke sini sekejap. Ada
sesuatu yang mak long nak bagitahu kamu,” mak long tersenyum padaku. Furqan
pula menundukkan pandangannya.
“Aisyah, ni anak saudara mak
long. Mak dia adik mak long. Tapi, orang tuanya meninggal dunia tiga tahun yang
lepas akibat kemalangan jalan raya semasa balik bercuti dari Cameron Highland,” aku hanya mendiamkan
diri. “Nama dia Furqan. Ahmad Furqan bin Ahmad Fuad. Dia ni bekas pelajar
Universiti al-Azhar. Sekarang dia bekerja sebagai pensyarah di universiti tempatan,”
aku masih lagi mendiamkan diri. Furqan pula masih menundukkan kepalanya.
“Furqan, ni Aisyah. Nurul Aisyah
Al-Ain bt Rizman. Dia ni puteri sulung adik arwah Ayah Man kamu. Ayah dia
meninggal dunia semasa dia masih budak sekolah lagi. Waktu tu, umur Aisyah baru
16 tahun. Tetapi, dia dah diduga dengan pemergian ayahnya. Kalau Furqan nak
tahu, Aisyah ni wanita besi tau. Dia berbeza dengan gadis-gadis yang pernah mak
long jumpa,” giliran aku pula menundukkan pandangan. Aku tidak tahu apa sebenarnya
yang hendak disampaikan oleh mak long kepadaku. Aku hanya berdiam diri. Tidak
ada sepatahpun perkataan yang keluar dari mulutku. Tiba-tiba Furqan bersuara.
“Ibu Za, Furqan dah lama kenal
dengan Aisyah. Ketika kami di sekolah menengah lagi. Tapi, kami terpisah
apabila Furqan sambung belajar ke Mesir. Aisyah pula belajar di London. Furqan
jumpa Aisyah masa di pusara Ayah Man hari tu. Tetapi, sepanjang majlis tahlil
Ayah Man, Furqan tak berani nak tegur Aisyah. Lagipun, Aisyah akan lari bila
nampak Furqan. Sebab tu Furqan tak berani tegur Aisyah,” kenyataan yang keluar
dari mulut Furqan mengejutkan mak long.
“Laa, ye ke? Kenapa tak bagitahu
Ibu Za awal-awal? Haa, kamu Aisyah, kenapa diam ajer? Kamu berdua ni. Diam-diam
ubi berisi yer,” Ada senyuman yang terukir di bibir mak long. Aku turut
tersenyum. “ Begini, kamu tahu kan, Aina masih kecil. Lagipun umur Aina tu
belum cukup lagi. Jadi, dia tak boleh nak ambil alih bisnes ayah dia. Mak long pula, malas rasanya nak uruskan
perniagaan tu. Jadi, pak long kamu ada meninggalkan wasiat. Dalam wasiatnya
itu, dia nak perniagaan itu diserahkan kepada kamu berdua. Bila Aina dah besar
nanti, dah cukup umur barulah dia boleh mengambil alih bisnes tu. Sebab itu, pak long suruh kamu berdua mengambil kursus
perniagaan semasa kamu belajar dahulu. Kerana dia tahu, kamu berdua akan
mengemudi syarikat pak long kamu tu. Nanti, peguam pak long akan bacakan wasiat
tu. Jadi, mak long nak kamu fikirkan masak-masak. Tapi jangan lama-lama tau.
Kamu jangan risau, mak long akan tolong kamu berdua dalam selok-belok
perniagaan ni.” Panjang lebar penjelasan mak long. Aku tidak menyangka pak long
sudah rancang segala-galanya. Dia seolah-olah tahu yang dia akan pergi seawal
ini.
“Ibu Za, biarlah Furqan balik
dulu ya. Nanti Furqan bagitahu jawapannya. Assalammualaikum.” Mak long
menghantar Furqan ke pintu. Aku masih lagi duduk di sofa. Mak long memelukku.
Dia membisikkan sesuatu ke telingaku membuatkan aku terkejut. Aku terus ke
bilik air untuk berwuduk sebelum tidur.
Jam menujukkan pukul 3 pagi.
Sudah menjadi kebiasaanku untuk bangun pada waktu begini. Malam itu, aku
bermunajat kepada Ilahi agar Allah menunjukkan jalan yang benar untukku. Sudah
puas bermunajat. Aku menyambung tidur.
Keesokannya harinya, mak long
memberitahu bahawa kami akan berjumpa dengan peguam pak long. Syukur, aku sudah
menemui jawapannya.
********
Harinya telah tiba. Aku, ibu dan
mak long menuju ke firma guaman. Furqan sudah menunggu kami di sana. Proses
membaca wasiat itu mengambil masa dua jam. Aku mendengar dengan teliti setiap
butir bicara yang di keluar dari mulut peguam itu. Akhirnya aku dan Furqan
sama-sama bersetuju untuk menunaikan wasiat arwah pak long. Terpancar satu
kepuasan pada wajah mak long. Mak long memeluk erat tubuhku. Begitu juga dengan
ibu.
Malam itu, kami berkumpul bersama-sama. Kami menunaikan solat hajat
bersama-sama. Selesai makan malam, kami sama-sama duduk di ruang tamu. Tidak
kusangka bahawa adik-adikku begitu cepat berkawan dengan adik-adik Furqan.
Mungkin umur mereka yang sebaya menyebabkan mereka mudah beramah mesra.
Tiba-tiba Furqan bersuara. Dia menghampiri ibu dan mak long. Aku pula duduk
disebelah ibu.
“Mak cik, saya ada sesuatu yang hendak disampaikan. Harap-harap mak cik
jangan terkejut. Begini, saya dengan Aisyah dah lama kenal. Sejak di bangku
sekolah lagi. Tapi, lepas tu kami terpisah. Dengan kuasa Allah, kami berumpa di
pusara Ayah Man hari tu. Saya tak sangka yang Aisyah ni anak saudara Ayah Man.
Sebelum ni kami tak pernah bersua muka. Mungkin ini sudah diaturkan oleh Allah
untuk kami berdua. Dipendekkan ceritanya, saya hendak menyunting Aisyah menjadi
isteri saya,” aku terkejut mendengar kata-kata Furqan. Adik-adik dan yang lain
turut terdiam. Mak long dan ibu sudah tersengih-sengih.
“Furqan, mak cik sentiasa merestui apa yang Aisyah buat. Sebelum mak cik
kata apa-apa, ada baiknya Furqan tanya Aisyah sendiri. Apa pun jawapan Aisyah,
mak cik restu dan redha,”
Kemudian Furqan bertanya kepadaku. Ketika itu, lidah aku menjadi kelu.
Pandanganku hanya menaghadap ke lantai. Seketika kemudian, aku memandang wajah
ibu. Ibu hanya tersenyum. Pandanganku beralih kepada mak long. Mak long turut
tersenyum. Aku memandang wajah adik-adikku dan Aina. Kemudian aku memandang
wajah adik-adik Furqan. Akhir sekali wajah Furqan.
*******
“Ahmad Furqan bin Ahmad Fuad, aku nikahkan akan dikau dengan kekandaku,
Nurul Aisyah Al-Ain binti Rizman dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran,”
kelantangan suara Amar, adikku membuatkan hatiku berdegup kencang.
“Aku terima nikahnya Nurul Aisyah Al-Ain binti Rizman dengan mas kahwinnya
senaskah Al-Quran,”
Sah. Alhamdulillah. Kini aku sudah sah bergelar isteri Furqan. Syukur ke
hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya. Air mataku bercucuran untuk sekian kalinya.
Saat melihat Furqan melangkah masuk ke dalam bilik, debaran di hatiku seperti
gendang yang dipalu bertalu-talu.
“Assalammualaikum Aisyah,” aku memandang wajah Furqan lalu menghadiahkannya
sebuah senyuman.
“Waalaikumsalam,” aku menjawab dengan penuh kasih sayang.
“Sayang, boleh kita solat sunat syukur bersama-sama?”
“Boleh,” aku segera bangkit daripada katilku lalu menghampar sejadah untuk
kami berdua.
Usai solat, aku menyusuli Furqan menuju ke pelamin yang dhias indah.
Majlis persandingan kami diadakan dengan sederhana. Menurut Furqan, dia
tidak mahu melakukan pembaziran. Biarlah segalanya diadakan dengan sederhana.
Hari itu, aku amat bahagia sekali apabila melihat kegembiraan yang terpancar di
wajah mak long dan ibu. Alhamdulillah. Kuasa Allah. Tiada siapa yang menduga.
Ramai saudara-mara yang hadir. Masing-masing bertanya bagaimana dan dimana kami
berjumpa. Hanya Furqan sahaja yang menjawab pertanyaan itu. Katanya, “Kami
berjumpa dengan kuasa Allah”, ringkas sahaja jawapannya.
Meskipun penat melayan tetamu yang datang, tetapi kepuasan dan kebahagiaan
yang aku rasakan, hanya Allah sahaja yang tahu. Malam itu, setelah semuanya
selesai, aku menuju ke bilik tidur. Furqan turut menyusuliku dari belakang.
Kemudian, dia duduk di birai katil. Aku turut bersamanya. Furqan memandang
wajahku dengan senyuman yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Lama dia
memerhatikan aku sebegitu.
“Furqan?”, panggilanku tidak diendahkan. Dia masih lagi tersenyum
melihatku.
“Ahmad Furqan?”
“Ya, Aisyah. Aisyah nak apa? Aisyah rindukan abang? Aisyah nak peluk abang?
Peluk lah”, tersipu malu aku mendengar kata-kata itu.
“Kenapa Furqan asyik tersenyum dari tadi? Ada yang tak kena ke kat muka
Aisyah ni?”, aku segera menuju ke meja solek. Lantas tangan Furqan menarik
tanganku.
“Aisyah, wajah Aisyah ni dah sempurna bagi abang. Oh ya, mulai saat ini,
jangan panggil Furqan. Panggil ‘Abang’. Sekarang Aisyah dah jadi ‘adik sayang’
abang tau. So, abang tak nak Aisyah panggil Furqan lagi. Mesti panggil
‘abang’”, aku tersenyum mendengar kata-kata Furqan.
“Furq... Abang, baiklah. Aisyah turutkan. Lepas ni abang kena jaga adik
sayang abang ni tau”, giliran Furqan pula yang tersenyum malu.
“Sayang, abang nak bagitahu sesuatu. Tapi, janganlah sayang terkejut sampai
melompat dari katil ni pula ya? Sebenarnya, lepas abang habis belajar dan balik
ke Malaysia ni, abang terus cari Aisyah. Tapi, abang tak tahu nak cari kat
mana. Abang cari Aisyah melalui facebook dan
twitter, tapi tak jumpa. Kemudian,
abang ‘google search’ nama Aisyah.
Alhamdulillah, banyaknya. Akhirnya abang terjumpa blog Aisyah. Waktu tu abang di rumah Ibu Za. Tiba-tiba Aina cakap,
“Eh, ni blog kak long. Abang Furqan
pun baca blog kak long?” Abang hairan
dan tanya siapa kak long tu. Kemudian Aina ceritakan segala-galanya dekat
abang. Dari situlah abang dapat nombor telefon Aisyah. Tapi, abang tak terus call Aisyah. Ingat tak masa Aisyah pergi ke kedai
buku hari tu, abang pun pergi kedai buku yang sama. Abang temankan adik-adik
abang. Abang terkejut bila tengok Aisyah. Abang cepat keluar dari kedai buku tu.
Bila nampak Aisyah keluar juga, abang terus masuk ke dalam kereta”, belum
sempat aku bercakap, dia meneruskan ceritanya. “Kemudian, malam tu abang
beranikan diri call Aisyah. Keesokan harinya, abang tunggu Aisyah.
Setelah tiga jam abang tunggu, abang dapat panggilan yang Ayah Man masuk
hospital. Abang tak terus ke hospital. Abang balik ke rumah dulu. Lepas tu,
baru abang ke hospital. Masa abang sampai tu, abang call Ibu Za. Ingatkan Ayah
Man masih di wad kecemasan. Rupa-rupanya dah dihantar ke wad neurologi. Abang
pun ke sana. Yang ada masa tu, cuma Ibu Za je yang teman Ayah Man. Aina pun
abang tak nampak”
“Oh, mungkin waktu abang sampai tu Aisyah dah bawa Aina balik”, aku
mencelahnya.
“Mungkin. Ok, sambung cerita. Abang balik dari hospital pukul 10 malam.
Lebih kurang dalam pukul 11 malam macam tu, Ibu Za call abang. Dia bagitahu Ayah Man sakit tenat. Abang dengan
adik-adik abang terus pergi ke hospital. Masa tu, abang nampak Aisyah dari jauh
je. Abang taknak dekat sangat. Bila Aisyah dengan kawan Aisyah tu pergi uruskan
segalanya, barulah abang jumpa Ibu Za. Kemudian, abang jenguk jenazah. Abang
tak sanggup nak tengok lagi, abang bawa adik-adik pulang. Sebelum subuh, abang
pergi ke rumah Ibu Za. Abang lah yang jadi imam solat subuh hari tu. Abang
nampak Aisyah peluk Aina”, aku hanya terdiam mendengar cerita Furqan. Begitu
hebat perancangan Allah.
“Aisyah... Aisyah tak tahu nak kata apa. Semua orang yang Aisyah sayang,
Allah dah ambil kembali. Tapi, Aisyah bersyukur dapat keluarga yang harmoni.
Ada ibu, mak long, adik-adik dan Aina. Merekalah keluarga Aisyah. Tapi
sekarang, keluarga Aisyah dah bertambah. Aisyah dah ada abang. Semoga keluarga
kita ni kekal bahagia hingga akhir hayat. Insya Allah”, Furqan hanya tersenyum.
Malam tu, macam-macam yang kami ceritakan. Segala-galanya kisah sepanjang kami
terpisah. Akhirnya, kami terlelap pada pukul 1 pagi.
******
“Assalammualaikum Kak Long. Aina
ni. Kak Long apa khabar? Baby kak long sihat? Abang Furqan? Aina rindu kak
long. Tapi Aina seronok belajar kat sini. Oh ya, terima kasih sebab hantar
gambar baby kak long hari tu. Comel
la. Macam kak long juga”, panggilan daripada Aina memecah keheningan pagi
minggu kami.
“Waalaikumsalam Aina. Amboi,
Aina. Langsung tak bagi peluang kak long jawab salam dulu ye. Kak long, baby dengan abang Furqan semuanya sihat.
Semua orang sihat. Mak long dengan ibu kirim salam kat Aina. Baguslah kalau
Aina seronok. Belajar rajin-rajin tau. Balik Malaysia nanti boleh la jadi doktor
peribadi Kak Long sekeluarga ye. Haha!”
“Ye la Kak Long. Eh Kak Long,
adik-adik Kak Long apa khabar? Arisa macam mana? Aina dapat berita, Arisa pun
nak jadi doktor ye? Dapat tak? Abang Amar dengan Abang Aiman? Abang Amar tu
bila lagi nak kahwin? Aina baca status facebook
Abang Aiman, dia cakap dia dapat jadi pensyarah. Wah! Hebat la adik-adik
Kak Long. Semuanya berjaya”
“Eh, Aina pun adik Kak Long
juga. Ye, alhamdulillah. Semuanya atas usaha masing-masing. Arisa akan
mendaftar di Universiti Malaya minggu depan. Dia ambil bidang kedoktoran. Dah
memang itu cita-cita dia. Abang Amar kamu tu, Kak Long pun tak tahu bila dia
nak kahwin. Katanya, tunggu Arisa balik ke Malaysia, baru dia kahwin. Hehe!
Alhamdulillah, Abang Aiman kamu, dia dah jadi pensyarah. Nak tahu tak, mak long
dengan ibu ada hobi baru tau. Mereka berdua buka kedai jahit. Maklum sajalah.
Seorang minat menjahit, seorang lagi minat berniaga. Syarikat pak long,
alhamdulillah, Kak long dengan Abang Furqan handle
dengan sebaik mungkin”
“Alhamdulillah kak long. Eh,
nanti Aina call lagi ye. Aina nak
pergi kelas. Assalammualaikum kak long”, terlepas rinduku pada Aina. Kini Aina
di Kota London. Dia meneruskan pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Arisa juga
mengikut jejak langkahnya.
Alhamdulillah.
Tiada siapa yang dapat menduga kuasa Allah.Kini, semua adik-adikku sudah
berjaya. Begitu juga dengan adik-adik Furqan. Ada yang berjaya dalam bidang
perniagaan, kejuruteraan, guaman dan pendidikan. Syukur ke hadrat Ilahi atas
kurniaan-Nya. Semua yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Yang pastinya sabar
itu ajaib! Terima kasih, Ya Allah.
Dalam aku mencari keredhaanNya...
Kau hadir membawa cahaya...
Menerangi hidupku...
Membawa aku menuju jalan Ilahi...
Menggenggam erat tanganku agar
Aku terus bangkit bersama semangat
luhur...
Kau hadiahkan kepadaku sebuah
kebahagiaan...
Yang belum pasti akan dimiliki oleh
sekalian umat manusia...
Satu kepuasan
Yang belum pernah aku rasai...
Nurul Aisyah...
Terima kasih kerana sudi menjadi suri di
hati
Insan bernama Ahmad Furqan...
Semoga permata kita akan menjadi seperti
Ibunya yang gagah perkasa...
Terima Kasih, sayang!
Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan
yang kelima!
-Ahmad Furqan b. Ahmad Fuad-
Aku
melipat kad ucapan itu. Kad daripada pemuda yang mencuit hatiku, Ahmad Furqan.
Aku menghampirinya lalu memeluk erat tubuhnya.