Pages

Tuesday, December 11, 2012

Saya serahkan kepada Allah untuk jaga awak




Malam itu, aku menghabiskan masaku di ruang tamu sambil membaca novel yang baru kubeli petang tadi. Memang hobiku yang suka membaca novel. Melihat novel tersebut, aku teringat dengan peristiwa di kedai buku petang tadi.
Ketika itu, aku sedang berjalan menuju ke rak buku yang menempatkan pelbagai jenis novel. Dari jauh aku tertarik dengan satu novel yang bertajuk ‘Kasihku Abadi’. Aku segera mencapai novel tersebut lalu membaca sinopsis pada belakang novel tersebut. Daripada synopsis yang kubaca, jalan cerita dalam novel itu sungguh menyentuh sanubariku. Aku meneruskan langkahku ke ruang yang menempatkan buku-buku agama sambil tanganku memegang novel tersebut. Tiba-tiba aku melihat kelibat seseorang yang aku kenali. Tetapi, aku tidak pasti adakah dia. Lantas aku membiarkan saja perkara itu dan meneruskan niatku di kedai buku itu. Selesai sahaja urusanku di kaunter pembayaran, aku terus melangkah keluar dari kedai buku tersebut. Saat itu, aku merasakan ada seseorang yang sedang memerhatikan aku. Aku menoleh ke belakang,ke kiri dan ke kanan. Sunyi. Dengan perasaan yang takut, aku memberanikan diri melangkah menuju ke tempat letak kereta. Aku segera pergi. Sampainya aku dirumah, kakiku melangkah laju masuk ke dalam rumah.  Setelah itu, aku terus melupakan perkara itu sehinggalah aku melihat novel yang baru kubeli.
Sedang aku leka membaca novel, telefon bimbitku berdering. Tertera nombor yang tidak aku kenali.
“Assalammualaikum, siapa ni?”, aku memulakan bicara.
“Waalaikumsalam. Ini Cik Aishah ke?”, suaranya seperti pernah kukenal sebelum ini. Tapi...
“Ya, saya. Boleh saya tahu siapa awak?”
“Boleh saya jumpa Cik Aishah. Tempat dan masa, nanti saya bagitahu. Yang penting, Cik mahu ke tidak berjumpa dengan saya?”, aku tidak pasti sama ada itu pelawaan, pertanyaan atau ugutan.
“Siapa awak ni? Dari mana awak dapat nombor telefon saya ni? Macam mana awak tahu nama saya?”
“Awak, kalau awak nak tahu siapa saya, boleh kita berjumpa?”
                Aku tersentap. Cara dia memanggilku membuatkan hatiku berdebar-debar. Dia mengingatkan aku kepada seseorang yang amat aku rindui. Tapi, itu dulu. Beberapa tahun yang lalu. Lama aku berfikir.
                “Cik Aishah?”, panggilannya mengejutkan aku.
                “Ya. Saya akan berjumpa dengan awak.”
                “Baiklah, saya akan tunggu awak di Restoran D’Alif pada pukul 3 petang esok. Macam mana?”
                “Ya, insya Allah. Saya datang”, dengan yakin aku menjawab. Sejurus selepas itu, aku menelefon sahabatku, Iman untuk menemaniku.

                Keesokan harinya, seperti yang dijanjikan aku dan Iman akan menemui pemanggil itu. Iman sudah sejam yang lalu tiba dirumahku setelah dihantar oleh abangnya. Jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Tiba-tiba, aku mendapat panggilan daripada Mak Long. Kata Mak Long, Pak Long masuk hospital kerana terjatuh di bilik air lalu dia tidak sedarkan diri. Tanpa berfikir panjang, aku segera memberitahu ibu. Ibu dengan pantasnya memasang tudung dan mencapai beg tangannya. Aku, ibu, Iman dan adik bongsuku segera menuju ke hospital. Sampainya di hospital, aku menurunkan ibu dan adik bongsuku di  perkarangan hospital sementara aku memarkir keretaku. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Aku dan Iman segera menuju ke wad kecemasan. Dari jauh, aku mendengar tangisan Mak Long. Aku terus memeluknya. Aku lihat Aina, anak tunggal Mak Long dan Pak Long yang menangis dalam dakapan ibuku. Sayu hatiku. Setelah sejam berlalu, doktor keluar lalu mencari Mak Long. Kata doktor, Pak Long disahkan mengalami kerosakan pada saraf otak. Ketika itu, Mak Long hampir-hampir pengsan.
                Pak Long dihantar ke wad neurologi. Malam itu, Mak Long menemani Pak Long. Kami pulang ke rumah mereka untuk mengambil pakaian Mak Long dan Aina. Aina akan bermalam di rumah kami sehinggalah Pak Long dibenarkan pulang. Setelah menghantar ibu dan adikku pulang, aku, Iman dan Aina ke hospital semula untuk menghantar pakaian Mak Long. Dalam perjalanan pulang, Iman mengingatkan aku dengan temu janji petang tadi. Ya Allah! Aku lupa hendak memberitahu hamba Allah itu akan kejadian yang berlaku. Aku menyuruh Iman menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada hamba Allah itu. Aku betul-betul lupa.
                Malam itu, Iman bermalam di rumah kami. Bilikku dihuni oleh empat orang anak dara. Selesai makan malam, aku mendapat panggilan daripada orang yang sama. Aku menerangkan perkara yang berlaku dan meminta maaf kepadanya kerana segala yang berlaku adalah di luar dugaan. Sebelum tidur, Aina menangis dalam dakapanku.  
“Kak Long, Aina takut kalau apa-apa terjadi dengan Abi. Aina tak nak kehilangan Abi. Aina sayangkan Abi,” Aina terus menangis. Iman dan Arisa, adik bongsuku turut menangis. Puas aku memujuk Aina, namun tangisannya belum lagi reda. Aku membiarkannya menangis.  Setelah puas menangis, akhirnya Aina terlelap juga. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku menuju ke bilik air untuk berwuduk bagi menunaikan solat hajat untuk Pak Long. Usai solat, aku mendapat panggilan daripada Mak Long.
                “Aishah! Cepat datang! Pak Long kamu sakit tenat!” tanpa berfikir panjang, aku segera mengejutkan seisi rumah. Ibu, Aina, Arisa dan Iman menaiki keretaku sementara adik lelakiku, Amar dan Aiman menaiki kereta Amar. Kami tiba di hospital tepat jam 11.30 malam. Aina segera berlari menuju ke wad neurologi. Tiba-tiba kami melihat pak long dihantar menuju ke unit rawatan rapi (ICU). Mak Long dan Aina berlari-lari menuju ke sana juga. Dua jam menunggu, akhirnya doktor bersama dua orang jururawat keluar menemui Mak Long.
                “Minta maaf. Allah lebih menyayangi Encik Razman,” Aina terus pengsan dalam dakapanku. Mak Long pula terduduk di atas kerusi. Innalillahiwainnailaihirajiun. Aina menjadi yatim di usia 16 tahun. Usia yang terlalu muda. Seusia dengan diriku ketika arwah abah meninggalkan kami 8 tahun yang lalu.
                 Malam itu, aku dan Iman menguruskan segalanya sehinggalah jenazah dibawa pulang ke rumah mereka. Ramai saudara-mara yang datang. Telefon aku, ibu, Mak Long dan Aina terlalu sibuk dengan panggilan daripada sahabat handai. Rumah Mak Long dibasahi dengan titisan air mata dan bacaan Yaasin. Aku yang membaca Ummul Kitab, tidak dapat menahan sebak melihat jenazah Pak Long. Setelah pemergian abah, Pak Long menjadi tempat aku dan adik-adik untuk bermanja. Dialah ayah kami. Raut wajah Pak Long yang seiras dengan arwah abah, menyebabkan aku lebih rapat dengan Pak Long.
                Dinihari itu, kami solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh anak saudara Mak Long. Selesai solat, doa yang dibaca oleh imam tadi membuatkan aku menjadi sebak. Air mata bercucuran. Lantas aku memeluk Aina. Kemudian, aku duduk di sisi jenazah. Membaca Yaasin untuk Pak Long. Aku hanya tersedar apabila ada orang menyapaku dan memberitahu bahawa jenazah akan dimandikan lalu dikafankan. Sekali lagi, air mataku bercucuran. Aku menuju ke dapur untuk meneguk sedikit air. Setelah itu, aku mengambil kesempatan untuk membersihkan diri.
                Aina tidak mahu berenggang daripadaku mahupun adikku. Lagi pula, kami tidak mahu membiarkan dirinya sendirian. Hari itu, setelah selesai semua urusan, Aina dan Mak Long terus tertidur di kamar mereka. Aku lihat, Aina memeluk erat potret Pak Long. Mak Long pula menyelimuti dirinya dengan kain pelikat Pak Long. Sebak hatiku. Aku pula menghantar Iman pulang.







******

Aku membelokkan kereta menuju ke tanah perkuburan. Niat di hati hendak menziarahi pusara insan aku rindui.
                ‘Assalammualaikum abah. Kakak rindukan abah. Abah, abah dah boleh jumpa pak long. Abah tak sendirian lagi. Abah dah ada teman. Pak long akan bersama abah. Insya Allah, kami akan menyusul kemudian. Kami semua rindukan abah.’
                Akhirnya, air mataku membasahi rumput hijau. Lama aku di sana. Kemudian, aku menuju ke pusara pak long. Nampaknya ada seorang pemuda di pusara pak long. Mungkin keluarga sebelah mak long. Aku tidak berapa kenal dengan keluarga sebelah mak long.
                “Assalammualaikum,” berhati-hati aku menyapa.
                “Waalaikumsalam,” dia menolehku dengan pandangan sayu. Aku terdiam sebentar. Bermimpikah aku? Dia terus berdiri setelah melihat diriku. Lama kami berpandangan.

 Enam tahun yang lalu...

                “Aishah, saya minta maaf. Saya memang betul-betul sayangkan awak. Tapi, saya tak nak musnahkan masa depan saya. Berilah peluang kepada saya untuk mencorak masa depan saya. Saya janji, saya akan cari awak setelah semuanya selesai. Saya tak akan pernah berhenti mencintai awak. Dari hari pertama kita kenal sehingga sekarang, rasa cinta saya terhadap awak tak pernah pudar. Aishah, saya serahkan kepada Allah untuk jaga awak buat saya. Selamat tinggal Nurul Aisyah Al-Ain bt Rizman,” itulah pertemuan terakhir kami. Ketika itu, air mataku bercucuran seperti hujan. Aku tidak mampu untuk berkata sepatahpun. Dia meninggalkan aku seribu kenangan yang tak dapat aku lupakan.
 Itulah dia pemuda yang mencuit hatiku, Ahmad Furqan. Meskipun Laut Antartika yang memisahkan kami, tidak pernah aku lupa wajah dan suaranya. Pertemuan pertama di surau sekolah itu menjadikan aku seorang perindu. Meskipun dia adalah salah seorang pelajar cemerlang di sekolah ketika itu, namun aku tidak pernah mengenalinya. Pandangan kami tertaut ketika di pintu surau sekolah. Ketika itu, aku hendak meninggalkan surau selesai solat. Lantas aku menutup pintu utama. Tidak aku sedari ada seseorang dibelakangku lalu menegurku dan memberitahu dia hendak masuk. Aku membuka kembali pintu itu. Saat aku menoleh ke belakang, aku terdiam. Terpana melihat kejadian Allah yang sempurna. Segera aku beristighfar lalu beredar dari situ.

                “Aisyah?” panggilannya menghentikan lamunanku.
                “Aisyah, apa awak buat di sini?” tertawa aku mendengar pertanyaan itu.
                “Sepatutnya, saya yang tanya soalan itu kepada awak. Apa awak buat di sini? Ini pusara pak long saya. Apa hubungan awak dengan pak long saya?”
                “Ayah Man ni pak long saya juga. Ibu Za, mak long awak tu, kakak kepada arwah ibu saya. Ayah Man ni, kami dah anggap macam ayah kami. Selepas arwah mama dan papa pergi tiga tahun yang lalu, merekalah yang menjadi ibu bapa kami. Keluarga Ayah Man dan Ibu Za banyak bantu kami adik-beradik. Sepanjang saya berada di bumi Arab, dialah yang menjaga adik-adik saya. Tak terbalas rasanya jasa Ayah Man dengan Ibu Za,” aku lihat mutiara kecil jatuh dari kelopak matanya. Lantas dia menyapa pipinya.
                “Itu lah. Kuasa Allah. Tak ada sesiapa yang dapat menduga. Kita yang hidup ni perlu teruskan hidup. Tak perlu diratapi orang yang dah pergi,” aku cuba memujuk dia dan diriku sendiri. Kemudian, Furqan beredar dari situ. Aku pula masih berada di pusara pak long dan terus menghdiahkan Ummul Kitab untuk arwah pak long. Kemudian, aku beredar. Aku terkejut melihat Furqan berdiri di sisi keretanya. Kebetulan keretanya diparkir sebelah keretaku.
                “Aisyah, awak terus ke rumah Ibu Za?”
                “Tak, saya nak balik ke rumah saya sendiri. Selepas zohor nanti, baru saya ke sana. Assalammualaikum,” aku terus meninggalkan Furqan begitu sahaja.

******


                Sudah seminggu pemergian pak long. Kebetulan pula sudah masuk musim cuti sekolah. Jadi aku tidak perlu mengajar. Aku bermalam di rumah mak long selama seminggu bagi menemani mereka berdua. Selama berada di sana, mak long dan Aina kurang bercakap. Masing-masing masih merindui pak long. Suatu malam, usai solat isyak mak long menghampiriku.
                “Aisyah, terima kasih sebab dah banyak bantu kami sekeluarga. Kalau tak ada Aisyah sekeluarga, mak long tak tahu nak minta tolong daripada siapa. Terima kasih, Aisyah.”
                “Mak Long, jangan cakap macam tu. Apa yang Aisyah buat ni tak setimpal dengan jasa mak long dan pak long taburkan untuk kami adik-beradik. Aisyah dah anggap pak long tu macam ayah Aisyah sendiri. Sepatutnya Aisyah yang berterima kasih dengan mak long dan Aina sebab sudi bagi kami menumpang kasih dengan pak long.” Kami sama-sama menangis. Namun, tangisan kami terhenti apabila mendengar ketukan pintu. Aku segera membuka pintu.
                “Eh, Aisyah. Assalammualaikum. Ibu Za ada?” terkejut aku melihat tubuh yang tinggi lampai itu  berdiri di hadapan pintu rumah mak long.
                “Waalaikumsalam. Ada. Sila masuk. Duduk lah. Saya nak panggil mak long sebentar,” aku segera memanggil mak long. Tidak lama kemudian, mak long datang menemui Furqan. Aku pula menghidangkan minuman untuk mereka. Kemudian, aku masuk menuju ke kamar Aina. Tiba-tiba mak long memanggilku. Terkocoh-kocoh aku ke ruang tamu.
                “Aisyah, ke sini sekejap. Ada sesuatu yang mak long nak bagitahu kamu,” mak long tersenyum padaku. Furqan pula menundukkan pandangannya.
                “Aisyah, ni anak saudara mak long. Mak dia adik mak long. Tapi, orang tuanya meninggal dunia tiga tahun yang lepas akibat kemalangan jalan raya semasa balik bercuti dari Cameron Highland,” aku hanya mendiamkan diri. “Nama dia Furqan. Ahmad Furqan bin Ahmad Fuad. Dia ni bekas pelajar Universiti al-Azhar. Sekarang dia bekerja sebagai pensyarah di universiti tempatan,” aku masih lagi mendiamkan diri. Furqan pula masih menundukkan kepalanya.
                “Furqan, ni Aisyah. Nurul Aisyah Al-Ain bt Rizman. Dia ni puteri sulung adik arwah Ayah Man kamu. Ayah dia meninggal dunia semasa dia masih budak sekolah lagi. Waktu tu, umur Aisyah baru 16 tahun. Tetapi, dia dah diduga dengan pemergian ayahnya. Kalau Furqan nak tahu, Aisyah ni wanita besi tau. Dia berbeza dengan gadis-gadis yang pernah mak long jumpa,” giliran aku pula menundukkan pandangan. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang hendak disampaikan oleh mak long kepadaku. Aku hanya berdiam diri. Tidak ada sepatahpun perkataan yang keluar dari mulutku. Tiba-tiba Furqan bersuara.
                “Ibu Za, Furqan dah lama kenal dengan Aisyah. Ketika kami di sekolah menengah lagi. Tapi, kami terpisah apabila Furqan sambung belajar ke Mesir. Aisyah pula belajar di London. Furqan jumpa Aisyah masa di pusara Ayah Man hari tu. Tetapi, sepanjang majlis tahlil Ayah Man, Furqan tak berani nak tegur Aisyah. Lagipun, Aisyah akan lari bila nampak Furqan. Sebab tu Furqan tak berani tegur Aisyah,” kenyataan yang keluar dari mulut Furqan mengejutkan mak long.
                “Laa, ye ke? Kenapa tak bagitahu Ibu Za awal-awal? Haa, kamu Aisyah, kenapa diam ajer? Kamu berdua ni. Diam-diam ubi berisi yer,” Ada senyuman yang terukir di bibir mak long. Aku turut tersenyum. “ Begini, kamu tahu kan, Aina masih kecil. Lagipun umur Aina tu belum cukup lagi. Jadi, dia tak boleh nak ambil alih bisnes ayah dia. Mak long pula, malas rasanya nak uruskan perniagaan tu. Jadi, pak long kamu ada meninggalkan wasiat. Dalam wasiatnya itu, dia nak perniagaan itu diserahkan kepada kamu berdua. Bila Aina dah besar nanti, dah cukup umur barulah dia boleh mengambil alih bisnes tu. Sebab itu, pak long suruh kamu berdua mengambil kursus perniagaan semasa kamu belajar dahulu. Kerana dia tahu, kamu berdua akan mengemudi syarikat pak long kamu tu. Nanti, peguam pak long akan bacakan wasiat tu. Jadi, mak long nak kamu fikirkan masak-masak. Tapi jangan lama-lama tau. Kamu jangan risau, mak long akan tolong kamu berdua dalam selok-belok perniagaan ni.” Panjang lebar penjelasan mak long. Aku tidak menyangka pak long sudah rancang segala-galanya. Dia seolah-olah tahu yang dia akan pergi seawal ini.
                “Ibu Za, biarlah Furqan balik dulu ya. Nanti Furqan bagitahu jawapannya. Assalammualaikum.” Mak long menghantar Furqan ke pintu. Aku masih lagi duduk di sofa. Mak long memelukku. Dia membisikkan sesuatu ke telingaku membuatkan aku terkejut. Aku terus ke bilik air untuk berwuduk sebelum tidur.
                Jam menujukkan pukul 3 pagi. Sudah menjadi kebiasaanku untuk bangun pada waktu begini. Malam itu, aku bermunajat kepada Ilahi agar Allah menunjukkan jalan yang benar untukku. Sudah puas bermunajat. Aku menyambung tidur.
                Keesokannya harinya, mak long memberitahu bahawa kami akan berjumpa dengan peguam pak long. Syukur, aku sudah menemui jawapannya.

********


                Harinya telah tiba. Aku, ibu dan mak long menuju ke firma guaman. Furqan sudah menunggu kami di sana. Proses membaca wasiat itu mengambil masa dua jam. Aku mendengar dengan teliti setiap butir bicara yang di keluar dari mulut peguam itu. Akhirnya aku dan Furqan sama-sama bersetuju untuk menunaikan wasiat arwah pak long. Terpancar satu kepuasan pada wajah mak long. Mak long memeluk erat tubuhku. Begitu juga dengan ibu.
Malam itu, kami berkumpul bersama-sama. Kami menunaikan solat hajat bersama-sama. Selesai makan malam, kami sama-sama duduk di ruang tamu. Tidak kusangka bahawa adik-adikku begitu cepat berkawan dengan adik-adik Furqan. Mungkin umur mereka yang sebaya menyebabkan mereka mudah beramah mesra. Tiba-tiba Furqan bersuara. Dia menghampiri ibu dan mak long. Aku pula duduk disebelah ibu.
“Mak cik, saya ada sesuatu yang hendak disampaikan. Harap-harap mak cik jangan terkejut. Begini, saya dengan Aisyah dah lama kenal. Sejak di bangku sekolah lagi. Tapi, lepas tu kami terpisah. Dengan kuasa Allah, kami berumpa di pusara Ayah Man hari tu. Saya tak sangka yang Aisyah ni anak saudara Ayah Man. Sebelum ni kami tak pernah bersua muka. Mungkin ini sudah diaturkan oleh Allah untuk kami berdua. Dipendekkan ceritanya, saya hendak menyunting Aisyah menjadi isteri saya,” aku terkejut mendengar kata-kata Furqan. Adik-adik dan yang lain turut terdiam. Mak long dan ibu sudah tersengih-sengih.
“Furqan, mak cik sentiasa merestui apa yang Aisyah buat. Sebelum mak cik kata apa-apa, ada baiknya Furqan tanya Aisyah sendiri. Apa pun jawapan Aisyah, mak cik restu dan redha,”
Kemudian Furqan bertanya kepadaku. Ketika itu, lidah aku menjadi kelu. Pandanganku hanya menaghadap ke lantai. Seketika kemudian, aku memandang wajah ibu. Ibu hanya tersenyum. Pandanganku beralih kepada mak long. Mak long turut tersenyum. Aku memandang wajah adik-adikku dan Aina. Kemudian aku memandang wajah adik-adik Furqan. Akhir sekali wajah Furqan. 


*******




“Ahmad Furqan bin Ahmad Fuad, aku nikahkan akan dikau dengan kekandaku, Nurul Aisyah Al-Ain binti Rizman dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran,” kelantangan suara Amar, adikku membuatkan hatiku berdegup kencang.
“Aku terima nikahnya Nurul Aisyah Al-Ain binti Rizman dengan mas kahwinnya senaskah Al-Quran,”
Sah. Alhamdulillah. Kini aku sudah sah bergelar isteri Furqan. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya. Air mataku bercucuran untuk sekian kalinya. Saat melihat Furqan melangkah masuk ke dalam bilik, debaran di hatiku seperti gendang yang dipalu bertalu-talu.
“Assalammualaikum Aisyah,” aku memandang wajah Furqan lalu menghadiahkannya sebuah senyuman.
“Waalaikumsalam,” aku menjawab dengan penuh kasih sayang.
“Sayang, boleh kita solat sunat syukur bersama-sama?”
“Boleh,” aku segera bangkit daripada katilku lalu menghampar sejadah untuk kami berdua.
Usai solat, aku menyusuli Furqan menuju ke pelamin yang dhias indah.
Majlis persandingan kami diadakan dengan sederhana. Menurut Furqan, dia tidak mahu melakukan pembaziran. Biarlah segalanya diadakan dengan sederhana. Hari itu, aku amat bahagia sekali apabila melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mak long dan ibu. Alhamdulillah. Kuasa Allah. Tiada siapa yang menduga. Ramai saudara-mara yang hadir. Masing-masing bertanya bagaimana dan dimana kami berjumpa. Hanya Furqan sahaja yang menjawab pertanyaan itu. Katanya, “Kami berjumpa dengan kuasa Allah”, ringkas sahaja jawapannya.
Meskipun penat melayan tetamu yang datang, tetapi kepuasan dan kebahagiaan yang aku rasakan, hanya Allah sahaja yang tahu. Malam itu, setelah semuanya selesai, aku menuju ke bilik tidur. Furqan turut menyusuliku dari belakang. Kemudian, dia duduk di birai katil. Aku turut bersamanya. Furqan memandang wajahku dengan senyuman yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Lama dia memerhatikan aku sebegitu.
“Furqan?”, panggilanku tidak diendahkan. Dia masih lagi tersenyum melihatku.
“Ahmad Furqan?”
“Ya, Aisyah. Aisyah nak apa? Aisyah rindukan abang? Aisyah nak peluk abang? Peluk lah”, tersipu malu aku mendengar kata-kata itu.
“Kenapa Furqan asyik tersenyum dari tadi? Ada yang tak kena ke kat muka Aisyah ni?”, aku segera menuju ke meja solek. Lantas tangan Furqan menarik tanganku.
“Aisyah, wajah Aisyah ni dah sempurna bagi abang. Oh ya, mulai saat ini, jangan panggil Furqan. Panggil ‘Abang’. Sekarang Aisyah dah jadi ‘adik sayang’ abang tau. So, abang tak nak Aisyah panggil Furqan lagi. Mesti panggil ‘abang’”, aku tersenyum mendengar kata-kata Furqan.
“Furq... Abang, baiklah. Aisyah turutkan. Lepas ni abang kena jaga adik sayang abang ni tau”, giliran Furqan pula yang tersenyum malu.
“Sayang, abang nak bagitahu sesuatu. Tapi, janganlah sayang terkejut sampai melompat dari katil ni pula ya? Sebenarnya, lepas abang habis belajar dan balik ke Malaysia ni, abang terus cari Aisyah. Tapi, abang tak tahu nak cari kat mana. Abang cari Aisyah melalui facebook dan twitter, tapi tak jumpa. Kemudian, abang ‘google search’ nama Aisyah. Alhamdulillah, banyaknya. Akhirnya abang terjumpa blog Aisyah. Waktu tu abang di rumah Ibu Za. Tiba-tiba Aina cakap, “Eh, ni blog kak long. Abang Furqan pun baca blog kak long?” Abang hairan dan tanya siapa kak long tu. Kemudian Aina ceritakan segala-galanya dekat abang. Dari situlah abang dapat nombor telefon Aisyah. Tapi, abang tak terus call  Aisyah. Ingat tak masa Aisyah pergi ke kedai buku hari tu, abang pun pergi kedai buku yang sama. Abang temankan adik-adik abang. Abang terkejut bila tengok Aisyah. Abang cepat keluar dari kedai buku tu. Bila nampak Aisyah keluar juga, abang terus masuk ke dalam kereta”, belum sempat aku bercakap, dia meneruskan ceritanya. “Kemudian, malam tu abang beranikan diri call  Aisyah. Keesokan harinya, abang tunggu Aisyah. Setelah tiga jam abang tunggu, abang dapat panggilan yang Ayah Man masuk hospital. Abang tak terus ke hospital. Abang balik ke rumah dulu. Lepas tu, baru abang ke hospital. Masa abang sampai tu, abang call Ibu Za. Ingatkan Ayah Man masih di wad kecemasan. Rupa-rupanya dah dihantar ke wad neurologi. Abang pun ke sana. Yang ada masa tu, cuma Ibu Za je yang teman Ayah Man. Aina pun abang tak nampak”
“Oh, mungkin waktu abang sampai tu Aisyah dah bawa Aina balik”, aku mencelahnya.
“Mungkin. Ok, sambung cerita. Abang balik dari hospital pukul 10 malam. Lebih kurang dalam pukul 11 malam macam tu, Ibu Za call abang. Dia bagitahu Ayah Man sakit tenat. Abang dengan adik-adik abang terus pergi ke hospital. Masa tu, abang nampak Aisyah dari jauh je. Abang taknak dekat sangat. Bila Aisyah dengan kawan Aisyah tu pergi uruskan segalanya, barulah abang jumpa Ibu Za. Kemudian, abang jenguk jenazah. Abang tak sanggup nak tengok lagi, abang bawa adik-adik pulang. Sebelum subuh, abang pergi ke rumah Ibu Za. Abang lah yang jadi imam solat subuh hari tu. Abang nampak Aisyah peluk Aina”, aku hanya terdiam mendengar cerita Furqan. Begitu hebat perancangan Allah.
“Aisyah... Aisyah tak tahu nak kata apa. Semua orang yang Aisyah sayang, Allah dah ambil kembali. Tapi, Aisyah bersyukur dapat keluarga yang harmoni. Ada ibu, mak long, adik-adik dan Aina. Merekalah keluarga Aisyah. Tapi sekarang, keluarga Aisyah dah bertambah. Aisyah dah ada abang. Semoga keluarga kita ni kekal bahagia hingga akhir hayat. Insya Allah”, Furqan hanya tersenyum. Malam tu, macam-macam yang kami ceritakan. Segala-galanya kisah sepanjang kami terpisah. Akhirnya, kami terlelap pada pukul 1 pagi.


******

                “Assalammualaikum Kak Long. Aina ni. Kak Long apa khabar? Baby  kak long sihat? Abang Furqan? Aina rindu kak long. Tapi Aina seronok belajar kat sini. Oh ya, terima kasih sebab hantar gambar baby kak long hari tu. Comel la. Macam kak long juga”, panggilan daripada Aina memecah keheningan pagi minggu kami.
                “Waalaikumsalam Aina. Amboi, Aina. Langsung tak bagi peluang kak long jawab salam dulu ye. Kak long, baby dengan abang Furqan semuanya sihat. Semua orang sihat. Mak long dengan ibu kirim salam kat Aina. Baguslah kalau Aina seronok. Belajar rajin-rajin tau. Balik Malaysia nanti boleh la jadi doktor peribadi Kak Long sekeluarga ye. Haha!”
                “Ye la Kak Long. Eh Kak Long, adik-adik Kak Long apa khabar? Arisa macam mana? Aina dapat berita, Arisa pun nak jadi doktor ye? Dapat tak? Abang Amar dengan Abang Aiman? Abang Amar tu bila lagi nak kahwin? Aina baca status facebook Abang Aiman, dia cakap dia dapat jadi pensyarah. Wah! Hebat la adik-adik Kak Long. Semuanya berjaya”
                “Eh, Aina pun adik Kak Long juga. Ye, alhamdulillah. Semuanya atas usaha masing-masing. Arisa akan mendaftar di Universiti Malaya minggu depan. Dia ambil bidang kedoktoran. Dah memang itu cita-cita dia. Abang Amar kamu tu, Kak Long pun tak tahu bila dia nak kahwin. Katanya, tunggu Arisa balik ke Malaysia, baru dia kahwin. Hehe! Alhamdulillah, Abang Aiman kamu, dia dah jadi pensyarah. Nak tahu tak, mak long dengan ibu ada hobi baru tau. Mereka berdua buka kedai jahit. Maklum sajalah. Seorang minat menjahit, seorang lagi minat berniaga. Syarikat pak long, alhamdulillah, Kak long dengan Abang Furqan handle dengan sebaik mungkin”
                “Alhamdulillah kak long. Eh, nanti Aina call lagi ye. Aina nak pergi kelas. Assalammualaikum kak long”, terlepas rinduku pada Aina. Kini Aina di Kota London. Dia meneruskan pengajiannya dalam bidang kedoktoran. Arisa juga mengikut jejak langkahnya.

Alhamdulillah. Tiada siapa yang dapat menduga kuasa Allah.Kini, semua adik-adikku sudah berjaya. Begitu juga dengan adik-adik Furqan. Ada yang berjaya dalam bidang perniagaan, kejuruteraan, guaman dan pendidikan. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya. Semua yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Yang pastinya sabar itu ajaib! Terima kasih, Ya Allah.



Dalam aku mencari keredhaanNya...
Kau hadir membawa cahaya...
Menerangi hidupku...
Membawa aku menuju jalan Ilahi...
Menggenggam erat tanganku agar
Aku terus bangkit bersama semangat luhur...

Kau hadiahkan kepadaku sebuah kebahagiaan...
Yang belum pasti akan dimiliki oleh sekalian umat manusia...
Satu kepuasan
Yang belum pernah aku rasai...

Nurul Aisyah...
Terima kasih kerana sudi menjadi suri di hati
Insan bernama Ahmad Furqan...
Semoga permata kita akan menjadi seperti
Ibunya yang gagah perkasa...

Terima Kasih, sayang!
Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan yang kelima!

-Ahmad Furqan b. Ahmad Fuad-

Aku melipat kad ucapan itu. Kad daripada pemuda yang mencuit hatiku, Ahmad Furqan. Aku menghampirinya lalu memeluk erat tubuhnya.






No comments:

Post a Comment